Penganjur dan Penderma Darah adalah aset negara: KM

PUTATAN: Para penganjur dan penderma darah di seluruh negeri ini merupakan aset penting negara amnya dan Sabah khususnya kerana memiliki nilai kemanusiaan tinggi membantu menyelamatkan nyawa pesakit.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata kesanggupan seseorang individu menderma secara sukarela berjaya meletakkan Malaysia antara salah satu daripada 60 negara seluruh dunia yang mengamalkan sistem pendermaan darah secara sukarela.

Justeru, beliau meluahkan rasa bangga dan berterima kasih kepada para penderma darah yang komited menyumbang secara sukarela tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama dalam memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa cukup untuk masyarakat setempat.

“Sehingga kini, tidak ada lagi bahan sintetik yang mampu dihasilkan bagi menggantikan produk darah yang sentiasa diperlukan dalam perawatan pesakit.

NORAZLINAH (enam dari kiri) memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis itu sambil diperhatikan oleh Dr Mohd Ferous (lima dari kiri) dan Alix (enam dari kanan).

“Satu beg darah yang masyarakat dermakan mampu menyelamatkan tiga nyawa pesakit.

“Oleh itu, saya menyeru agar lebih ramai anggota masyarakat tampil menderma dengan lebih kerap lagi dan bagi yang belum pernah menderma terutama golongan muda, marilah menderma,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif semasa merasmikan Majlis Penghargaan Penderma Darah dan Penganjur kempen derma darah bersempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sinar Mustika, di sini pada Jumaat.

Shafie turut mengajak belia di negeri ini menanamkan budaya menderma darah kerana ia bukan sahaja membantu pesakit malah memberi kelebihan kepada diri sendiri.

Katanya, kesedaran kepentingan menderma darah perlu berlaku secara berterusan kerana ada peningkatan terhadap kes-kes kesihatan kalangan pesakit yang memerlukan sumbangan darah seperti pesakit talasemia dan pesakit barah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata seramai 72,591 rakyat Sabah telah melaksanakan pendermaan darah pada tahun 2017 dan kutipan tertinggi berjaya diperolehi daripada tiga hospital utama iaitu HQE1, HQE2 dan HWKKS, melibatkan seramai 32,329 penderma.

Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan

menyampaikan anugerah kepada Arther Malcom, salah seorang daripada enam tokoh penderma darah.

pendermaan sebanyak 1.7 peratus berbanding tahun 2016 iaitu seramai 71,382 penderma.

“Peningkatan ini disebabkan berlaku kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap tanggungjawab berkenaan di samping kerjasama jitu berterusan daripada penganjurpenganjur kempen derma darah.

“Bagaimanapun, ia masih tidak mampu menampung keperluan yang dilihat turut seiring dengan peningkatan pesakit talasemia, di mana Sabah menunjukkan statistik jumlah pesakit talasemia tertinggi di Malaysia,” katanya dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Perubatan) Dr Mohd Ferous Alias.

Pengerusi Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) Alix Sunggin turut meluahkan rasa terima kasih atas penganjuran majlis berkenaan sebagai penghargaan bukan sahaja kepada para penderma darah malah kepada pelbagai pihak dari kalangan swasta, kerajaan, NGO, IPTA/S dan sebagainya.

Tema sambutan Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini adalah ‘Hadirlah untuk mereka, Derma Darah, Kongsi Kehidupan’.

Pada majlis itu, turut disampaikan anugerah kepada enam tokoh penderma darah iaitu Hj A Manap A Rahman, Dr Jagdev Sidhu, Arther Malcom Motiung, Mathavan a/l Muniandy, Kong Siew Yin dan Dy Norasmeh Adnin.

Selain itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) diikuti Angkatan Tentera Malaysia, TLDM, Polis Diraja Malaysia, JPJ, ILKKM dan UMS turut menerima anugerah bagi kategori IPTS/ A dan unit beruniform.

Sementara bagi kategori penganjur pertubuhan bukan kerajaan diberikan kepada Imago Shopping Mall, Suria Sabah, Crest Management (Karamunsing Capital), Petroleum Carigali, Persatuan Kebajikan Sukarelawan Sabah, Kebabangan Petroleum Oil Company (KPOC), BCCM Tuaran dan Masjid Bandaraya Likas.

Hadir sama, Pengarah Pusat Darah Negara Dr Noryati Abu Amin, Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah Dr Marcus Netto, Ketua Perkhidmatan Transfusi Sabah Dr Shahnaz Irwani Sabri, Timbalan Pengarah Hospital Queen Elizabeth II Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah (Perancangan) Hospital Queen Elizabeth Dr Anbarasu Ramalingam.