Karnival Derma Darah Merdeka pada 14-16 September ini

MESYUARAT: Shiela (lima dari kiri) selepas mempengerusikan mesyuarat baru-baru ini.

KOTA KINABALU: (11 September 2019) Orang ramai diminta agar hadir menderma darah sempena Kanival Derma Darah Merdeka 2019 pada 14 sehingga 16 September ini bertempat di Taman Awam, Teluk Likas, bermula jam 8.30 pagi hingga 8 malam.

Pengerusi Penganjur Shiela Fae Among berkata, pelbagai acara telah dirancang sepanjang tiga hari karnival berlangsung.

“Selain Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan Percuma, kita juga ada Pertandingan Miss Merdeka, pertandingan nyanyian, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah, pameran, ceramah kesihatan dan Kempen Kesedaran Talasemia.

“Karnival ini adalah anjuran bersama Pertubuhan Darah Amnesty Sabah (ABO), Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah), Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia (Perdarah), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Persatuan Talasemia Sabah (Talasemia) dan Sabah Young Blood (Bond), serta dibantu oleh Unit Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak Kanak Sabah,” katanya.

Tambahnya, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijangka akan merasmikan karnival itu yang diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.

Shiela yang juga setiausaha agung ABO berkata, tema karnival ialah ‘Derma Darah, Selamatkan Nyawa’ dengan sasaran 500 pain darah dalam tempoh tiga hari.

“Antara objektif penganjuran ialah memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah, melahirkan insan yang sayang kepada nyawa dan sanggup menolong antara satu sama lain, melahirkan lebih ramai penderma darah dalam kalangan muda mudi serta membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di semua hospital kerajaan dan Kempen Sifar Talasemia,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Shiela (016 8060910) atau Setiausaha Penganjur yang juga Presiden Pendarah Alix Sunggin (016 4479965), atau Haslinah Bilong (0111 9571299) selaku pengerusi Pertandingan Nyanyian, Miss Merdeka dan Pertandingan Melukis dan Mewarna Kanak-kanak. – Utusan Borneo